Tuesday, October 12, 2010

Jualan langsung jana RM10 bilion 2017

Jualan langsung jana RM10 bilion 2017

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 10 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan industri jualan langsung dalam negara dapat menjana nilai jualan tahunan sebanyak RM10 bilion menjelang 2017.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran itu menunjukkan keupayaan sektor jualan langsung tempatan bergerak setanding dengan negara-negara yang telah lama bertapak dalam industri itu seperti Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, perkembangan itu sekali gus memberi kesan positif kepada syarikat jualan langsung asing agar lebih yakin untuk memasuki pasaran negara ini.

‘‘Sumbangan yang dijanakan oleh industri jualan langsung negara pada 2009 berjumlah RM4.23 bilion dan ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada sektor perdagangan pengedaran.

‘‘Kerajaan menganggarkan sumbangan sub sektor perdagangan pengedaran kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sekitar 13.3 peratus pada tahun lepas,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, usaha yang dilakukan oleh usahawan jualan langsung tempatan selama ini selaras dengan matlamat Pelan Induk Perdagangan Pengedaran kementerian dalam usaha melihat sektor peruncitan negara mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau memberitahu, perniagaan jualan langsung kini bukan lagi merupakan sebuah perniagaan untuk mendapatkan pendapatan sampingan semata-mata sebaliknya mampu menjana pendapatan yang tinggi.

‘‘Zaman telah berubah di mana perniagaan ini dapat dijadikan satu kerjaya tetap dan mampu memberikan pulangan pendapatan tinggi dan lumayan.

‘‘Dengan syarat seseorang itu berusaha dengan bersungguh-sungguh dan penuh keyakinan,” katanya.

No comments:

Post a Comment